Assalamualaikum dan Salam Eksplorasi! Selamat datang ke blog Hachik Khau, tempat kita borak santai tentang ride, hidden gems, dan kisah jalanan. Untuk pembaca baru, salam perkenalan semua, dan untuk geng setia, korang memang legend sebab sudi dengar celoteh Pokcik. Kali ni kita nak sembang tentang hujan — musuh tradisi penunggang motor yang penuh drama.
Hujan: Risiko Tetap Ada, Tapi Kita Sedia!
Orang tua-tua kata, “Sediakan payung sebelum hujan”. Tapi bagi
geng motor macam kita ni, terpaksa kita modify sikit ar, “Sediakan raincoat sebelum ride!”. Pokcik nak cerita sikit pengalaman baru-baru ni masa balik kerja. Macam biasa,
dekat-dekat waktu maghrib, aku ride balik ikut laluan biasa. Tapi malam tu,
langit nampak lain macam. Tak ada senja nan merah ala lagu Awie & Ziana.
Sebaliknya, sarat dengan awan gelap dan kilat sambung menyambung siap ada
dengar guruh di kejauhan, macam tengah buat perancangan jahat.
Sebagai rider, kita memang tahu risiko ride waktu macam tu,
tapi apa pilihan yang ada, kan? Pokcik ada tabiat sikit. Kalau hujan dah turun
masa aku dah mulakan perjalanan, aku takkan berhenti melainkan jumpa tempat betul-betul
selamat. Kalau dah basah, logiknya, buat apa pakai raincoat, kan? Tapi kalau
long ride, lain cerita. Raincoat wajib sebab kalau tak, dia punya sejuk memang
tak boleh bawak bincang, terutama kalau malam semakin dingin.
Berhenti Hujan di Tempat Selamat, Bukan Tempat Bahaya!
Satu benda aku nak pesan untuk rider lain. Bila nak berhenti
sebab nak sarung raincoat, tolonglah cari tempat yang selamat untuk berhenti.
Hari tu, aku nampak ada rider berhenti kat atas flyover MRR2. Sikit lagi aku
digilis kereta sebab mengelak korang yang main berhenti je kat tepi jalan tu.
Kereta tu pun satu hal, cuba bagi signal sebelum elak ke kanan. Bahaya gila
beb! Padahal, tak sampai 200 meter ke depan ada tempat yang lebih selamat untuk
korang berhenti. Jangan pentingkan diri beb, korang yang buat hal orang lain
yang merana tak pepasal. Motor kita kalau rosak ada jual spare part, tapi
badan kita ni tak ada jual Spare-Parts bro.
Dan pada pemandu kereta, korang pun tolonglah hormat sikit
rider. Bila hujan, tak payah nak tukar lorong macam main game Need for Speed.
Cuba guna signal, jangan main masuk jer dan jangan lupa, rider motor ni daging
membaluti besi, lain lah korang yang bawak kereta, besi membaluti daging korang.
Walaupun motor kecik je, tapi impak kemalangannya besar. Sama-sama jaga, boleh?
Ride ke Bukit Merah: Dari Panas ke Hujan Non-Stop
Sekarang kite tukar ke cerita sebenar — aku nak kongsi
pengalaman ride aku ke Bukit Merah dengan Along Wan, Lee dan Hafizul tahun
lepas. Masa tu dah penghujung musim panas, korang cuba bayangkan tasik Bukit
Merah pun boleh kering kontang. Tapi ironinya, sepanjang perjalanan ride kami, hujan turun
mencurah-curah macam saja nak buat dengki. Kami bertolak petang Sabtu, lepas
setel semua kerja aku. Awal perjalanan, cuaca memang cerah dan ceria. Tapi
lepas jer R&R Rawang, langit terus bertukar mode hujan lebat.
Kami nak berhenti pakai raincoat pun tak sempat lah. Basah lencun! Dalam hati, "Takpe, teruskan je. Angin nanti boleh tolong keringkan pakaian aku nie." Hahaha, memang silap besar lah... Baru nak kering sikit, hujan episode ke-2 pula datang. Memang dah macam drama Korea dah, banyak giler episod bersambung-sambung. Tapi hujannya kali ni kejam sikit, siap dengan angin kuat dia bagi. Motor aku dah goyang macam motor bot dilambung ombak tiap kali berselisih dengan lori atau bas. Seram giler, weh! masa tu. Tambah pula setiap kali nak berselisih dengan kenderaan lain.
Cabaran Ride dalam Hujan
Bayangkan, dari R&R Rawang sampai R&R Tapah, kami
berhenti tak kurang lima kali. Kadang sebab hujan lebat, kadang sebab sejuk
sangat. Lagi satu cabaran masa ride dalam hujan ni ialah hydroplaning. Tayar
rasa macam separa drifting pun ada, macam tengah bawak jetski pon ada. Hujan
lebat giler sampai tayar rasa terapung dan skidded sebab jalan terlalu licin.
Memang kena extra focus time tu. Bayangkan laaa, jaguh pecut kebangsaan pun tak
berani nak bawa laju masa tu. Sedang aku syok main hujan tiba-tiba rasa berat
lain macam pula kaki masa tu, baru aku perasan riding boots aku dah jadi tangki
air portable daaaa...
Tapi cabaran hujan ni juga yang buat ride jadi memorable.
Masa sampai Bukit Merah, walaupun basah kuyup, serius puas hati beb sebab kita
dah berjaya tempuh semua dugaan. Akhirnya kami sampai juga ke destinasi dengan
selamat. Tapi sebelum tu, sempat la juga aku ‘mandi’ free dengan air hujan
sepanjang perjalanan. Tau la mandi tu wajib, tapi yang kejamnya sepanjang jalan
disuruhnya mandi… Tak apa lah, jimat bil air minggu nie kan? Betul orang kata,
pengalaman macam ni yang buat kita rasa ride tu bukan tentang destinasi, tapi
perjalanan tu sendiri.
Harap korang enjoy cerita dan tips kali ni. Kalau ada
pengalaman atau tips tambahan, jangan segan-segan kongsi kat komen, okay? Ride
safe, geng!
Akhir kata dari Pokcik, ride memang seronok, tapi ia bukan sekadar
sampai ke destinasi. Pengalaman yang kita kutip sepanjang perjalanan – cabaran,
pelajaran, dan kenangan – itulah yang menjadikan setiap ride itu lebih bermakna.
Hujan tu Rahmat, boleh jimat bill air rumah kalau hujan lebat macam tu. Boleh
terus pasang niat mandi wajib tu. Walaupun cuaca bukan dalam kawalan kita,
dengan sedikit ilmu, pengalaman, serta berhati-hati dan bertawakal, insyaAllah
kita akan sampai ke destinasi yang kita tuju dengan selamat.
Kalau korang ada pengalaman ride dalam hujan, tips tambahan,
atau cerita menarik, jangan lupa kongsikan di ruangan komen! Dan kalau korang
suka vibe perkongsian macam ni, jangan lupa untuk follow, like, share dan
subscribe channel DakGelong dan Weekend Go Travel di YouTube.
Support korang akan bantu kami terus berkongsi cerita ride, hidden gems, dan
pengalaman perjalanan yang bermakna. Jumpa lagi dalam ride seterusnya – jaga
keselamatan dan sentiasa menikmati perjalanan!
Tips Menunggang Ketika Hujan
- Persediaan Sebelum Ride
- Sediakan Raincoat Sebelum Hujan: Pastikan sentiasa bawa dan simpan baju hujan di motor. Untuk melindungi kasut, sediakan sekali shoe cover. Baju hujan bukan sahaja membantu mengelakkan pakaian basah tetapi juga membantu mengekalkan suhu badan supaya tidak terlalu sejuk semasa menunggang.
- Pilih Tayar yang Sesuai untuk Jalan Basah: Gunakan tayar yang direka untuk kegunaan basah, biasanya soft-compound dengan corak bunga tayar yang baik untuk membelah air.
- Periksa Keadaan Tayar: Pastikan tekanan angin tayar sesuai dan bunga tayar mesti sekurang-kurangnya 50% tebal untuk mengelakkan hydroplaning.
- Semasa Ride
- Kurangkan Kelajuan: Jangan bawa laju, terutama di kawasan berbukit atau jalan raya dengan genangan air. Kelajuan tinggi meningkatkan risiko tayar hilang cengkaman.
- Gunakan Brek dengan Cermat: Elakkan brek mengejut. Gunakan brek belakang dan hadapan secara seimbang. Brek mengejut boleh menyebabkan tayar terkunci dan mudah tergelincir.
- Peka pada Keadaan Sekeliling: Fokus lebih pada jalan dan kenderaan lain. Pastikan lampu depan menyala untuk memastikan anda dilihat oleh pengguna jalan raya lain.
- Keselamatan Tambahan
- Guna Bahan Reflektif: Pastikan pakaian atau raincoat ada reflektor untuk kelihatan di waktu hujan dan gelap.
- Elakkan Garisan Putih: Jalan yang ada garisan putih atau kuning biasanya lebih licin bila basah.