10 November 2025

☕️ Wa-Buck Café — Catatan Dari Dunia Yang Hampir Lupa

Bila Wabak Dah Pergi, Kita Pun Lupa Diri.


Hujan malam ni renyai halus. Bau kopi dari mesin espresso bercampur bau tanah basah.
Café ni dulu penuh dengan batuk. Sekarang sunyi, cuma tinggal bunyi sudu berlaga cawan.
Entah kenapa, aku rasa rindu dengan bising tu — sebab diam macam ni selalunya datang sebelum manusia lupa lagi sekali.

Aku buka laptop, nak sambung tulis artikel yang tertangguh.
Tiba-tiba ada suara, “Bang, boleh tumpang meja?”
Aku angkat muka, senyum. “Boleh, duduklah. Kalau ada orang halimunan dah duduk dulu, nanti dia menjerit.”
Dia ketawa kecil, letak beg. Aku tutup laptop; rasa macam lebih baik berborak dengan manusia hidup daripada menatap skrin sepi.

Barista yang tengah lap gelas menyampuk,
“Bang, sinis percuma lagi ke malam ni?”
Aku gelak. “Percuma, ikut kadar wabak semasa.”

Kami bertiga senyum. Hujan mula berat sedikit.


Kau pandang kaca, nampak pantulan headline berita di TV: “Kes Influenza Menurun, KKM Kekal Berwaspada.”
Kau tunjuk skrin tu pada aku.
“Bang, orang kata dah reda… tapi masa tu kan kecoh betul? Sekolah tutup, pejabat pun banyak MC.”

Aku angguk perlahan.
“Musim tu macam hujan batu. 97 kluster sekali jalan, sekolah asrama jadi zon perang.
Tapi sekarang bila semua nampak tenang, orang dah buat macam tak pernah kena.”

Barista tambah, “Bukan COVID pun kan bang? Orang dah bosan penyakit ni.”
Aku senyum nipis. “Tu lah masalah kita. Bila tak trending, kita rasa selamat.”


“Influenza ni bukan baru,” aku sambung. “Dulu pun dia ada.
Bezanya sekarang kita dah longgar — datang kerja walau demam, balik kampung walau batuk.
Konon tak nak rugi cuti, padahal bagi diskaun nyawa.”


Kau gelak kecil. “Saya pun baru baik demam minggu lepas. Test negatif COVID, terus datang kerja.”
Aku angkat kening. “Zaman sekarang ni, kalau RTK putih, semua rasa suci.
Padahal masa tu lah virus tengah tumpang LRT sebelah kau.”

Barista ketawa, “Haha, patutlah ramai department cuti serentak.”
“Ha tu lah,” aku balas. “Kluster bukan datang dari virus, tapi dari memo HR.”


Café senyap sekejap bila orang meja depan batuk.
Kami sama-sama pandang.
Macam déjà vu — musim tu dulu.

Aku bersandar. “Kau tahu, dulu masa COVID, dunia ni macam brek mengejut.
Kedai tutup, jalan kosong, jemaah pun terhad. Ekonomi jatuh, manusia jadi takut sesama sendiri.
Semua janji nak berubah — nak lebih bersih, lebih jaga diri, lebih hargai masa.
Tapi bila kerajaan umum COVID dah jadi endemik, semua rasa perang dah tamat.”

Kau diam, pandang kopi.
Aku teruskan perlahan.
“Endemik tu bukan maksud selamat.
Dia cuma maksud ‘kita dah penat panik’. Virus tu tak hilang, dia cuma berhenti menakutkan sebab kita dah berhenti kira statistik.”

Barista berhenti lap meja.
“Dulu, orang menyesal sebab tak sempat jumpa mak ayah. Sekarang, ada orang demam pun masih meeting.”
Aku senyum pahit. “Manusia cepat sembuh dari trauma, tapi tak pernah sembuh dari lupa.”


Kau tanya, “Jadi bila influenza datang balik ni, sama la macam COVID dulu?”
Aku geleng. “Tak sama, tapi dia datang bawa pengajaran yang sama.
KKM sekarang kalut nak kekang sebelum jadi macam dulu. Tapi rakyat?
Ramai dah tak ada perasaan. Influenza ni bagi peluang kedua untuk kita belajar — tapi nampak gaya, kelas ulangan pun kita ponteng.”

Barista senyum sinis. “Maknanya manusia ni cepat lupa lah, bang?”
Aku ketawa kecil. “Cepat lupa, lambat insaf.
Virus pun malas nak mutasi kalau tengok perangai manusia.”


Aku tunduk tengok cawan. “Dulu aku kerja dengan pasukan Digital Tracker, sistem pemantauan traveler masa COVID.
Kerja kami pantau orang kuarantin — siapa patuh, siapa ponteng.
Yang paling susah bukan cari pesakit, tapi nak sedarkan yang positif tapi rasa dia kebal.”

Aku angkat mata. “Ada yang cabut gelang, ada yang shopping masa kuarantin, ada yang balik kampung sekampung kuarantin ramai-ramai.
Konon demam biasa. Bila statistik naik, semua tuding jari kat orang lain.”

Kau ketawa perlahan. “Macam bos saya la tu.”
Aku balas, “Semua ofis ada satu spesies macam tu.”
Barista masuk selit, “Bangsa ni dia tak puas hati dia sorang je kena. Dia kata, the more the merrier!
Aku sambung, “Kalau virus boleh buat TikTok, caption dia mesti: Thanks to my carrier of the month.

Kami bertiga ketawa. Tapi lepas tu, café senyap balik. Hujan tinggal titis-titis halus.


Aku tunduk, nada berubah.
“Kita ni pelik, dik. Bila gelombang reda, kita bukan bersyukur — kita lalai.
Kita fikir semua dah ok. Padahal perangai yang cipta wabak tu masih hidup.”
Aku pandang mereka berdua.
“Kita yang jemput penyakit masuk negara. Kita yang sebarkan dekat ofis.
Kita yang balik kampung bawak buah tangan virus, tapi bila mak demam, kita kata ‘mak tak jaga diri.’”

Kau renung aku lama.
“Bang, macam manusia tak belajar langsung.”
Aku angguk. “Ha. Macam tu la.
Kita ni dah lupa kita pernah duduk dalam sangkar sendiri. Pernah tengok jiran hilang kerja, pernah tanam orang tersayang.
Tapi bila dengar ‘influenza’, kita buat muka selamba — sebab kita rasa benda tu biasa.”


Barista bisik, “Tapi penyakit ni tak bawa mati kan bang?”
Aku senyum, tapi mata tak lepas dari cawan.
“Semua benda boleh bawa mati, dik. Termasuk nasi lemak kalau makan tamak.
Kematian tu pasti. Penyakit cuma asbab.”
Aku berhenti sekejap.
“Kalau ujian sekecil demam pun tak boleh buat kita sedar diri, jangan tunggu dia datang kali kedua menjemput.”

Aku pandang luar.
“Wabak tak jadi bencana sebab virus, tapi sebab manusia tak berubah.”
“Hari ni influenza, esok mungkin lain. Tapi punca tetap sama — kita.”


Kau termenung. “Bang, kalau macam tu, maknanya manusia memang takkan pernah belajar?”
Aku senyum nipis. “Pernah belajar, tapi tak ulangkaji.”
Barista tergelak kecil. “Kau cakap macam cikgu sekolah bang.”
Aku balas, “Sekolah pun dah banyak kluster dulu, kan? Sekarang, kita tengah belajar subjek paling mahal —
subjek yang kalau gagal, kita mungkin pupus.”

Kau angkat kening.
“Pupus?”
“Ha. Macam dinosaur. Dulu dia pun raja bumi. Besar, kuat, tak ada saingan. Tapi sombong.
Satu perubahan cuaca pun cukup nak lenyapkan semua.
Manusia ni versi upgrade dinosaur — pakai tie, ada Wi-Fi, tapi perangai sama.”

Sunyi sekejap.
Barista bisik perlahan, “Pedih bang, tapi sedap.”


Aku tarik nafas, suara makin perlahan.
“Mungkin setiap wabak ni bukan bala, tapi peluang.
Peluang untuk tengok siapa kita bila takut, dan siapa kita bila lega.
Dulu masa takut, semua pakai mask, semua hormat jarak.
Sekarang bila lega, semua lupa — macam tak pernah mati rasa.”

Aku pandang dua orang depan aku.
“Influenza ni mungkin dah reda, tapi kalau perangai kita kekal, tak payah tunggu virus baru pun,
manusia boleh pupus sendiri — bukan sebab penyakit, tapi sebab lupa.”


Barista datang bawa refill terakhir.
“Bang, ni last. Café nak tutup.”
Aku ambil cawan, senyum. “Takpe. Dunia pun patut belajar tutup sekejap.”

Aku pandang mereka berdua.
“Virus ni tak pernah minta cuti. Tapi dia suka ikut orang balik dari bercuti.”
Kami ketawa kecil.

Aku hirup kopi terakhir.
“Tuhan tak turunkan bala besar pun.
Kadang Dia cuma naikkan suhu badan dua darjah,
supaya manusia berhenti, dan ingat balik —
hidup ni pinjaman, bukan lesen kebal.”

Sudu jatuh ke piring.
Bunyi kecil tu terpantul lembut dalam diam café.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan