Sebuah siri tentang kenderaan dan pilihan hidup
“Pernah tak kau rasa… kenderaan yang kau beli tu macam tak rela je dengan kau?” Kadang rosak manja-manja, kadang menduga jiwa.
Minyak hitam baru tukar, tiba-tiba enjin terus tak boleh berputar.
Baru setel bayar ansuran, tiba-tiba tayar bengkak minta tukar.
Kadang tu baru nak masuk highway, tiba-tiba terus dia ajak berhenti ke tepi.
Kadang aku terfikir…
“Kereta ni sebenarnya kita yang pilih dia... atau dia yang pilih kita?”
Sebab hakikatnya, dalam hidup ni — bukan semua benda yang kita pilih, sesuai untuk kita. Dan kereta… bagi aku, dia seolah-olah berjiwa. Baru cerita nak cari yang lain, terus dia merajuk tak nak bawak kita ke mana-mana. Sebab ramai tak beli dengan jiwa. Ramai beli sebab gaya.
Kau cuba tengok sekeliling —
Ada yang beli kereta sebab nak impress awek.
Ada yang baru tukar Civic, tapi dalam hati takde sivik.
Ada yang beli sebab rasa dah cukup “berjaya”.
Tapi bila bulan keempat bayar ansuran, dah start Google keyword: “kenapa dengan kereta saya?”
Kereta ni... dia tak semata-mata alat.
Dia boleh jadi partner yang setia, kalau kau tahu cara jaganya.
Tapi dia juga boleh jadi beban — kalau kau cuma nak tunggang dia tanpa pernah tanya:
“Aku ni tuan... atau penumpang yang sombong?”
Cerita ni bukan tentang kereta semata.
Tapi tentang manusia yang fikir dia pandai pilih…
Sedangkan dia tak pernah tanya —
“Aku ni... betul-betul layak ke untuk dipilih?”
Sejak awal tahun 2025, rumah Kak Ngah makin sunyi rasanya. Honda City yang dulu selalu dibawa ke sana sini, kini makin lama makin dingin — terbiar sepi. Seperti menunggu sesuatu. Atau mungkin… sedang menunggu seseorang yang sudi membawanya keluar berjalan-jalan semula.
Kak Ngah rasa berat hati tengok kereta tu terus terbiar. Katanya, daripada biarkan ia mereput tak berjaya, baik beri pada siapa yang boleh jaga dan manfaatkan. Tapi bukan sebarangan orang. Kena orang yang betul-betul tahu menghargai.
Lepas beberapa kali tenung kereta tu dari celah pintu yang sedikit terbuka, Kak Ngah kumpulkan kekuatan.
“Dah 43 hari terpendam di dada nak cerita... Tapi tak kuat nak bagitau... Pagi ni baru dapat kekuatan dia,” tulis Kak Ngah dalam WhatsApp group keluarga.
Dia jemput dua orang datang rumah. Aku dan Wan. Takde intro fancy. Takde briefing panjang. Cuma satu mesej ringkas yang aku rasa, beratnya lebih dari semua group project aku zaman belajar dulu.
“Bila free datanglah rumah Kak Ngah. Tapi kena datang dengan Along Wan. Kak Ngah ada nak cerita kat you two.”
Petang Sabtu tu, aku dan Wan sampai di rumah Kak Ngah. Kak Ngah tenang, tapi sedikit muram. Anak-anak dia semua pun ada di rumah. Terasa macam satu dewan perbicaraan kecil keluarga.
Kak Ngah mula buka cerita.
"Dulu Abang Mus selalu juga bawak keluar Honda City ni... Tapi semenjak dia tak sihat hari tu, lama dah Honda tu tak 'berjaga'."
Dia pandang lama ke arah tingkap, seolah kereta tu masih berdiri tegak dalam ingatan dia.
"Budak-budak ni ada la juga sesekali bawak keluar... tu pun sebab Kak Ngah suruh panaskan enjin. Tapi masing-masing pun dah ada kereta sendiri."
Dia menghela nafas panjang.
"Kalau kereta ni dok terletak depan rumah macam ni... entah-entah esok lusa terus rosak pula. Kak Ngah pun dah lama tak memandu. Rasa rugi kalau terus biarkan dia mereput begitu."
Dia tenung kami berdua.
"Kak Ngah nak bagi percuma je kereta ni pada siapa yang boleh jaga kereta tu elok-elok. Kak Ngah taknak kereta ni rosak terbiar. Siapa yang rasa mampu, ambillah. Tapi Kak Ngah pesan awal-awal, siapa datang dulu, dia yang dapat. First come, first serve."
Aku tersentak. Tapi aku tak terus menjawab. Dalam hati aku masih terbayang telitinya Abg Mus jaga kenderaan keluarga mereka dulu.
"Kak Ngah, boleh bagi masa seminggu untuk berfikir? Saya nak bincang dulu dengan CikDah."
Malam tu aku ajak Wan ride jauh — aku dengan Benelli RFS aku, dia pun dengan RFS dia. Sama, tapi tak serupa. Dah lama aku perasan… Masa aku pakai Proton Saga LMST, dia pun cari Saga Sedan. Aku beli Benelli RFS 150i Limited Edition, dia pun beli Benelli RFS 150i Limited Edition, siap mod sekali.
Aku tak tuduh. Cuma aku perasan...
Sampai kat R&R Rawang, aku tanya dia pasal kereta Kak Ngah.
"Wan, apa pendapat kamu tentang offer Mak Ngah tu?"
"Kalau kamu nak ambik ke Honda tu, Pokcik okay je. Nak tak nak Pokcik kene juga cari kereta lain dalam tahun ni.. Yang penting, siapa ambik, kena sanggup tanggung."
Aku ceritakan juga kondisi kereta tu, masalah-masalah kecil yang aku tahu — CVT slip sikit, body bushing longgar, enjin kasar. Tapi bagi aku, semua tu manageable.
Dia dengar. Tapi senyap. Macam tak kisah.
Ahad tu CikDah call. Aku bincang dengan dia pasal Honda tu. Dia setuju. Dia tahu aku memang tengah cari kereta yang:
Nampak presentable sikit untuk kerja
Selesa untuk outstation dan bawa equipment
Jimat minyak sebab aku selalu ulang alik jauh ke Johol
Tapi aku cakap juga — Kak Ngah bukan offer aku sorang. Boleh jadi Wan yang dapat. Jadi aku fikir, kalau bukan aku yang dapat, aku nak bantu Wan cari kereta lain ikut kemampuan dia.
Aku pernah terfikir nak bantu kewangan, atau bagi Saga LMST aku.
Tapi bila aku cakap nak bantu… CikDah terus bantah.
"Kalau dia nak, biarlah dia usaha sendiri. Takkan semua benda pun nak kita suap? Kereta Saga tu pun, jangan mimpi. Aku tak sanggup tengok dia jahanamkan lagi sebijik."
Aku diam. Dia sanggup lepaskan kereta pertamanya untuk aku, tapi bukan untuk orang yang tak reti jaga amanah.
Hari Isnin tu aku terus WhatsApp Kak Ngah. Malam tu, aku pergi rumah dia.
"Kalau bukan rezeki saya, takpe. Tapi saya datang ni sebab saya nak Kak Ngah tahu... saya hargai peluang ni."
Selasa malam, Wan ajak lepak. Dia pandang aku, dan cakap:
"Pokcik… tak payah la ek ambik Honda tu. Wan ingat Wan nak ambik."
Ayat dia pendek. Tapi berat.
"Kalau Pokcik nak beli kereta lain, Wan boleh bantu sikit. Kita jual je kereta Saga lama Wan tu. Boleh tolong topup bajet Pokcik."
Aku senyum. Dalam hati: kereta yang tunggu rebah tu nak bantu aku? Tapi takpe…
“Aku tawarkan tangan. Dia pulang paku. Tapi takpe… aku dah buat bahagian aku.”
"Kalau kamu betul-betul nak, pergi lah jumpa Mak Ngah. Jangan cakap kat Pokcik je. Pergi beritahu Mak Ngah kenapa Wan perlukan kereta tu."
Malam esoknya aku scroll balik Mudah.my… cari kereta murah. Just in case.
Dan malam seterusnya, Kak Ngah mesej aku.
"Sabtu ni datang rumah. Anak-anak semua ada. Kita bincang pasal kereta tu."
Dalam hati aku berdebar. Tapi aku tahu satu benda:
"Aku dah datang. Aku dah nyatakan hasrat. Selebihnya, bukan kerja aku lagi."
[BERSAMBUNG DI EPISOD 2]
Cerita ni tak habis kat sini...
Ni baru permulaan kepada satu siri yang lebih dalam — tentang manusia, ego, pilihan… dan kenderaan yang bukan sekadar alat. Akan ada lima episod semuanya. Dan setiap satunya… makin dekat dengan realiti yang ramai orang tak berani hadap.
Episod seterusnya — keputusan muktamad siapa yang bakal menjadi tuan baru kepada Honda City ini. Tapi itu cuma satu bab kecil.
Sebab lepas tu, muncul kisah Wan. Dan deretan kenderaan yang datang dan pergi dalam hidup dia. Termasuk sebuah ‘keranda bergerak’ yang dia pilih… bukan sebab perlu, tapi sebab taknak kalah.
Jangan sangka kereta cuma soal “boleh jalan ke tak”. Kadang… dia jadi cermin diri kau sendiri.
Kau bersedia nak tengok siapa yang sebenarnya memandu... dan siapa yang selama ni cuma menumpang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan